Pengenalan
Sosialisasi adalah proses di mana seseorang individu mempelajari
dan menerima nilai, sikap, kemahiran yang dipunyai oleh masyarakat bagi
membentuk personalitinya yang tersendiri untuk menjadi ahli masyarakat
tersebut. Sosialisasi adalah proses seumur hidup. Tanpa sosialisasi seseorang
tidak dapat berinteraksi, bekerja sebagai satu kumpulan atau melakukan kawalan
diri. Sosialisasi bukan sahaja menolong seseorang memainkan peranan sosialnya
dengan sempurna tetapi secara keseluruhannya ia juga boleh dikatakan sebagai
alat untuk mengekalkan kumpulan dan masyarakat. Idea-idea, nilai-nilai dan
pola-pola tingkah laku yang menyatukan masyarakat akan terus kekal walaupun
ahli-ahlinya berganti.
Sosialisasi berlaku secara sedar atau tidak sedar. Walaupun
kanak-kanak diajar secara langsung (delibrate) cara-cara tingkah laku,
sikap-sikap dan nilai-nilai yang baik di rumah dan di sekolah, tingkah laku,
sikap dan nilai kumpulan dalam masyarakat yang lain secara tidak langsung juga
akan dipelajari oleh kanak-kanak hasil daripada tingkah laku-tingkah laku atau
perbuatan-perbuatan orang-orang dewasa di sekitarnya. Ramai ahli sosiologi
berpendapat bahawa kita tidak dilahirkan sebagai manusia, tetapi kita menjadi
manusia melalui proses interaksi sosial atau sosialisasi. Sosialisasi mengubah
organisme bilogikal kepada insan sosial. Melalui sosialisasilah seseorang
belajar isi kandung kebudayaannya. Melalui sosialisasilah kebudayaan manusia
dapat dipindahkan daripada satu generasi kepada generasi yang lain.
Proses sosialisasi bertujuan untuk :
a. mengajar asas-asas kehidupan dalam masyarakat
b. menanamkan aspirasi-aspirasi masyarakat
c. menyebarkan kemahiran-kemahiran yang penting dalam masyarakat
d. mengajar untuk memenuhi peranan-peranan sosial.
Tiga perkara mesti berlaku untuk memastikan kejayaan sosialisasi :
a. Seseorang mesti faham apa yang diharapkan daripada mereka. Ia
mesti tahu tingkah
laku apa yang patut dipelajari sebagaimana yang diingini oleh
masyarakat.
b. Seseorang mesti berusaha memenuhi kehendak-kehendak masyarakat.
Untuk bertingkah laku sebagai mana yang dikehendaki, individu boleh mempelajari
kemahiran-kemahiran intelektual, sosial dan fizikal daripada ibu bapa, sekolah
dan sumber-sumber lain daripada persekitaran.
c. Seseorang mesti akur dan rela mengikut peraturan-peraturan
masyarakat.
Norma Sosial
Norma sosial merupakan kelakuan yang standard yang dimiliki oleh
anggota sesuatu kumpulan dan anggota kumpulan itu dijangka akan mematuhinya.
Sebagai tingkahlaku yang standard, norma sosial merupakan peraturan yang
ditentukan dan dipersetujui oleh sebahagian besar anggota masyarakat dengan
mengambil kira mengenai munasabah atau tidaknya tingkah laku itu. Norma sosial
boleh dianggap sebagai suatu garis panduan bagi anggota masyarakat bertingkah
laku mengikut sesuatu situasi.
Penerimaan serta kepatuhan kepada norma sosial adalah penting bagi
mewujudkan perpaduan di dalam sesuatu kelompok atau masyarakat. Beberapa norma
sosial yang diterima oleh kebanyakan masyarakat ialah seperti larangan terhadap
perlakuan membunuh, merogol, mencuri
dan merompak.
Tanpa norma sosial sistem masyarakat akan terganggu atau menjadi kacau bilau.
Apabila sesuatu perlakuan dianggap sebagai satu norma atau bersifat
normatif, kita sebenarnya menekankan hakikat bahawa perlakuan itu mematuhi atau
bersesuaian dengan jangkaan dan kehendak masyarakat umumnya. Tingkah laku yang
tidak mematuhi norma sosial atau bertentangan dengan harapan sebilangan besar
ahli masyarakat adalah dianggap sebagai ‘penyimpangan’ atau ‘deviance’ atau
‘lencongan’. Dalam masyarakat yang menganggap keikhlasan sebagai satu standard
kelakuan atau norma, maka penipuan adalah penyimpangan. Norma sosial wujud
akibat dari interaksi sosial. Ia mencerminkan jangkaan dan harapan bersama
mengenai tingkahlaku yang diingini dalam sesuatu kelompok. Norma sosial
dipelajari melalui proses sosialisasi dan penghayatan. Norma sosial bukannya
sesuatu yang tetap. Ia berubah dari semasa ke semasa mengikut keadaan
masyarakat. Pengetahuan yang baru dan keadaan yang berubah boleh menyebabkan berkembangnya
norma-norma baru.
Folkways dan mores sesuatu masyarakat mempunyai hubungan rapat
dengan norma sosial masyarakat tersebut. Folkways adalah cara-cara bertingkah
laku yang dianggap wajar dalam sesuatu masyarakat seperti sikap bersopan santun
dan berbudi bahasa. Ia berasaskan kepada adat resam dan tradisi yang diwarisi
dari generasi ke generasi melalui proses sosialisasi. Folkways berbeza daripada
masyarakat kepada masyarakat lain. Ia tidak dikuatkuasakan melalui
undang-undang, tetapi oleh kawalan sosial yang tidak formal. Perbuatan yang
melanggar folkways biasanya tidak dianggap sesuatu yang serius.
Mores pula merupakan norma sosial yang lebih asas bagi kehidupan
sosial. Ia menentukan standard moral bagi sesuatu tingkah laku. Anggota sesuatu
masyarakat adalah wajib mematuhi mores dan ketidakpatuhan akan mengakibatkan
hukuman tidak formal yang keras seperti ejekan, hinaan dan penyingkiran dari
kelompok-kelompok yang berkenaan. Jadi mores adalah satu bentuk kawalan sosial.
Satu contoh mores yang boleh dikatakan sejagat ialah pantang larang mengenai
sumbang kadim.
Kawalan Sosial
Kawalan sosial adalah cara yang digunakan oleh masyarakat untuk
mempengaruhi tingkah laku ahlinya supaya mereka mematuhi norma-norma sosial,
tradisi dan pola-pola tingkah laku yang penting bagi melicinkan perjalanan
masyarakat itu. Kawalan sosial boleh bercorak positif atau negatif dan
kedua-dua bentuk ini juga boleh bersifat formal atau tidak formal.
Kawalan sosial positif adalah ganjaran yang diterima oleh seseorang
yang mematuhi apa yang diharapkan oleh masyarakat. Ganjaran yang diberi boleh
jadi dalam bentuk senyuman, hadiah, kenaikan gaji atau pangkat, atau pemberian
pingat untuk menunjukkan seseorang itu telah berjasa kepada masyarakat dan
negara. Satu bentuk kawalan sosial yang lebih asas adalah bergantung kepada
penghayatan individu mengenai norma sosial, nilai dan jangkaan penghayatan
individu mengenai norma sosial, nilai dan jangkaan peranannya melalui proses
sosialisasi. Akibat daripada proses ini, individu didorong untuk mematuhi
norma-norma sosial yang dipercayainya. Kawalan sosial yang negatif adalah
berdasarkan kepada amaran serta ancaman terhadap hukuman. Ketakutan terhadap
hukuman seperti denda, penjara, kesakitan, kematian dan sebagainya diandaikan
dapat menghalang individu daripada melakukan tingkah laku.
Peranan Agen-agen
Sosialisasi
1.
Keluarga
Keluarga adalah agen sosialisasi yang banyak mempengaruhi
perkembangan kanak- kanak. Lazimnya ibu bapa akan mengajar anak-anaknya
mengenai apa yang harus dilakukan dan apa yang harus dilarang. Daripada ibu
bapa, kanak-kanak itu akan mempelajari kemahiran, sikap, norma dan nilai-nilai
seperti kejujuran, amanah, rajin, bersih dan hormat menghormati.
Kanak-kanak semasa dilahirkan diibaratkan seperti sehelai kain putih.
Ini bermakna kanak-kanak itu tidak jahat dan tidak baik. Bagaimana
personalitinya dibentuk adalah bergantung kepada keluarganya, rakan sebayanya,
sekolahnya dan unsur-unsur lain yang terdapat dalam alam sekitarnya. Pada
peringkat awal, kanak-kanak menghabiskan sebahagian besar masanya dengan
keluarganya.
Cara ibu bapa mengasuh anaknya adalah berbeza. Bagi ibu bapa yang
garang dan autokratik, anak-anak membesar menjadi individu yang patuh, pasif,
takut memberi pandangan dan kurang berinisiatif. Sebaliknya, ibu bapa yang
bersifat laissez-faire atau terlalu berlembut dengan anak serta cepat melayani
segala permintaan mereka akan mendapati bahawa anak-anak itu akan membesar
menjadi individu yang kurang bertanggung jawab, terlalu bergantung kepada orang
lain, kurang berikhtiar dan kurang menghormati orang-orang tua.
Keluarga yang bersifat demokratik, iaitu di mana ibu bapa sentiasa
berbincang secara terbuka, melibatkan anak dalam membuat keputusan seperti
menentukan tempat peranginan yang hendak dikunjungi serta menerangkan
sebab-sebab mengapa anak-anak dihukum akan berjaya membentuk individu yang
lebih tinggi keyakinan dirinya. Selain itu anak-anak itu juga lebih aktif,
bersopan santun, gemar berkongsi satu-satu masalah dan lebih bersifat
mementingkan hal lahiriah daripada hal batiniah diri sendiri (ektrovert).
Segala nilai dan norma yang ditekankan oleh ibu bapa akan cepat
mempengaruhi perkembangan personaliti anak-anak mereka. Sebagai contohnya,
Encik Zaidi baru sahaja pulang dari pejabat. Dia berasa letih dan ingin
berehat. Tiba-tiba telefon berdering. Anaknya Nasir telah mengetuk pintu
biliknya kerana panggilan itu adalah untuknya. Encik Zaidi meminta Nasir
memberitahu pemanggil bahawa dia tiada di rumah.
Situasi di atas jelas menunjukkan amalan menipu. Kalaulah situasi
seperti ini berlaku berulang kali, Nasir akan berpendapat bahawa dalam
kehidupan sehari-hari kita, amalan menipu tidaklah salah.
Saiz keluarga juga mempengaruhi sosialisasi seseorang individu.
Pertuturan dan interaksi adik beradik akan menggalakkan individu itu bertutur
dengan lebih cepat dan lebih luas perbendaharaan katanya. Anak-anak dalam
keluarganya yang besar mempunyai tugasan masing-masing manakala anak tunggal
atau anak keluarga kecil lebih dimanjakan. Nilai- nilai serta sikap yang
dihargai oleh adik beradik juga akan mempengaruhi seseorang individu itu.
2.
Sekolah
Apabila kanak-kanak bersekolah, interaksinya dengan masyarakat
menjadi bertambah luas. Ia bukan sahaja sekadar biasa dengan
peraturan-peraturan dan amalan-amalan keluarganya, ia akan sedar bahawa alam
persekolahan juga mempunyai peraturan- peraturan yang ketat yang memerlukannya
berkelakuan baik. Di sekolah kanak-kanak bukan sahaja belajar sosialisasi
secara formal yang ditentukan oleh kurikulum sekolah tetapi ia juga melalui
kurikulum tersembunyi dengan cara menyesuaikan diri dalam suasana baru sekolah
seperti beratur mengikut giliran, mengikut peraturan, bekerjasama dengan orang
lain dan bersaing dalam aktiviti-aktiviti sekolah. Guru-guru dan rakan
sebayanya menjadi orang-orang yang penting kepadanya. Adalah didapati guru-guru
memainkan peranan yang penting selepas ibu bapa dalam perkembangan moral kanak-
kanak. Cara pentadbiran sekolah, persekitaran sekolah. personaliti dan
pergaualan guru besar dan guru lain, termasuk kaki tangan sekolah, mempunyai
pengaruh terhadap perkembangan moral kanak-kanak di sekolah.
3.
Rakan
Sebaya
Seseorang kanak-kanak juga dipengaruhi oleh rakan sebayanya. Apa
yang mereka cakapkan, lakukan, bahasa yang digunakan, semua ini akan
meninggalkan kesan ke atas kanak-kanak. Sosialisasi melalui rakan sebaya adalah
yang paling efektif berbanding dengan sosialisasi melalui keluarga mereka
kerana sosialisasi rakan sebaya berlaku secara tidak formal dan tidak sengaja.
Kumpulan rakan sebaya adalah kumpulan yang mengandungi individu yang biasanya
mempunyai umur dan taraf yang hampir sama. Kumpulan rakan sebaya boleh jadi
kumpulan bermain kanak-kanak, satu geng, atau satu ‘clique’. Aktiviti kumpulan
rakan sebaya adalah berbentuk sukarela, ahlinya terdiri daripada yang sama
taraf dan dipilih berdasarkan suka sama suka. Dalam kumpulan rakan sebaya
mereka suka tanpa diganggu oleh pihak yang lebih berkuasa seperti ibu bapa atau
sekolah. Mereka belajar berdikari dan membentuk peraturan, nilai dan norma
kumpulan tersendiri. Kumpulan rakan sebaya, terutama peringkat remaja,
mempunyai pengaruh kuat ke atas tingkah laku individu. Kesan buruk rakan sebaya
boleh berlaku apabila ahli kumpulan dikehendaki menolak nilai-nilai ibu bapa
dan masyarakat, dan mengikut nilai norma kumpulannya. Pada peringkat remaja
ahli kumpulan rakan sebaya biasanya mempunyai sub-budaya tertentu, mereka
mempunyai cara bercakap, jenis-jenis pakaian, muzik, nilai dan norma kumpulan
rakan sebayanya. Jurang generasi kerap berlaku pada peringkat ini. Walau
bagaimanapun harus diingat bahawa tidak semua kumpulan rakan sebaya
membelakangkan nilai dan norma yang dipegang oleh keluarga dan masyarakat,
terdapat kumpulan rakan sebaya yang diwujudkan dengan bantuan dan restu
daripada keluarga ahli-ahli kumpulan rakan sebaya masing-masing. Adalah
didapati kumpulan rakan sebaya hari ini memainkan peranan penting dalam proses
sosialisasi individu berbanding dengan masa dahulu.
4.
Agama
Agama di dapati mempunyai hubungan dengan perlakuan moral. Ramai
berpendapat agama adalah penting untuk mencapai perlakuan moral yang baik.
Adalah didapati kanak-kanak yang menghadiri kelas-kelas agama lebih jujur
daripada kanak-kanak yang tidak menghadiri kelas agama. Ramai berpendapat
kanak-kanak menggunakan ajaran agama sebagai petunjuk dalam
proses perkembangan moral mereka. Walau bagaimanapun, terdapat juga
kes-kes di mana orang-orang yang percayakan agama tidak menggunakan
prinsip-prinsip moral yang tinggi dalam perlakuan mereka seharian. Ini kerana
tidak ada keimanan di dalam diri mereka. Sekiranya kanak-kanak ini diberi
didikan agama yang kuat dan berpegang kepada keimanan nescaya mereka tidak
melakukan sesuatu yang bercanggah dengan moral manusia malahan agama itulah
yang akan membentuk jiwa, moral dan akhlaknya kerana di dalam agama itu ada
cara dan kaedah untuk membentuk akhlak-akhlak yang baik dan berjiwa luhur
kepada tuhan seperti yang terkandung di dalam agama Islam.
- Media
Massa
Ada pendapat yang mengatakan media massa
mempunyai pengaruh sosialisasi sama kuatnya seperti pengaruh rakan sebaya dan
sekolah. Media massa yang merangkumi surat khabar, majalah, radio dan terutama
televisyen boleh meninggalkan kesan yang negatif dan positif ke atas
sosialisasi seseorang. Pengaruh baik atau buruk yang diterima oleh kanak-kanak
melalui media massa bergantung kepada apakah bahan atau unsur yang didedahkan
kepada mereka. Rancangan-rancangan televisyen mempunyai tema yang berbagai.
Tema yang baik seperti cerita di mana orang yang baik selalu mendapat kejayaan
dan sebaliknya orang jahat menerima hukuman atau balasan dapat membantu perkembangan
pertimbangan moral kanak-kanak. Kanak-kanak patut digalakkan untuk menonton
rancangan sedemikian. Sebagai ibu bapa dan guru yang bertanggung jawab adalah
menjadi tanggung jawab mereka untuk mendidik kanak-kanak supaya mereka tahu
memilih apakah rancangan televisyen dan bahan-bahan bacaan yang baik dan sesuai
untuk mereka.
drabdshatar