1.0 Pendahuluan
Usaha untuk membina tamadun manusia memerlukan satu pendekatan yang holistik
dan sepadu. Tamadun manusia tidak boleh hanya dibina di atas kecemerlangan
tamadun kebendaan semata-mata tetapi metilah diiringi dengan kemajuan spiritual
dan akhlak. Menurut Arnold Toynbee: “agama adalah nadi dan inti kehidupan”. Ia
adalah cahaya penerang jiwa dan manusia tidak lepas dari agama.
Idealogi-idealogi tidak mampu menjadi alternatif kepada agama, kerana idealogi
memberi sifat finatiksime dan kebencian. Sedangkan agama memberi kita rasa
cinta dan kerja sama.Bangsa yang bertamadun adalah bangsa yang telah mencapai
kehalusan tatasusila dan mempunyai kebudayaan yang luhur bagi seluruh anggota
masyarakatnya. Justeru untuk membina tamadun manusia mestilah dalam seluruh
program pembangunannya tidak mengabaikan nilai akhlak.
Jester itu, elemen-elemen yang mencabar penghayatan dan amalan nilai murni
perlu diketahui agar dapat disediakan langkah-langkah pencegahan bagi
memastikan nilai dan akhlak remaja kita berada pada tahap yang sepatutnya dan
boleh dibanggakan pada masa akan datang. Daripada pelbagai elemen-elemen yang
mencabar penghayatan dan amalan nilai murni, saya memilih untuk mengupas elemen
kebendaan, elemen sikap tidak bertanggungjawab, elemen media massa, elemen
pembangunan daripada aspek sosio-ekonomi dan elemen keruntuhan institutsi
kekeluargaan.
2.0 Kesan
elemen-elemen yang mencabar penghayatan dan amalan nilai murni
Pertama adalah
daripada aspek elemen mementingkan kebendaan. Mementingkan kebendaan adalah antara elemen-elemen yang
mencabar penghayatan dan amalan nilai-nilai murni. Ibn Khaldun dalam
Kitab Muqadimmahnya yang menyebut kemusnahan sesuatu tamadun ditandai dengan
beberapa perkara, iaitu banyaknya kemewahan, kehidupan penuh dengan hiburan dan
perhiasan...... Dalam arus perdana
yang semakin membangun pada hari ini, negara kita semakin bergerak untuk
mencapai ke arah negara maju dan berpendapatan tinggi. Oleh itu, ibu bapa akan
semakin mementingkan kebendaan kerana memikirkan taraf hidup yang semakin
tinggi. Sikap yang menjurus ke arah materialistik ini memberi kesan yang kurang
baik terhadap anak-anak mereka.
Sebagai contoh,
seorang guru pendidikan jasmani lelaki yang telah berkeluarga bertugas di
sekolah pada sebelah paginya. Kemudian, pada sebelah petang, guru tersebut
menjadi jurulatih berbayar sebuah pasukan bola sepak yang bertaraf kelab. Pada
sebelah malamnya pula, dia menjadi jurulatih badminton di sebuah pusat latihan
badminton yang dimiliki oleh swasta. Guru tersebut melakukan semua itu
semata-mata untuk mendapatkan duit atas pelbagai sebab. Antara sebab yang
mungkin menjadi pendorong kepada guru tersebut menjalani rutin harian
sedemikian rupa ialah untuk mendapatkan wang yang lebih, untuk mendapatkan
kehidupan yang selesa atau untuk menampung perbelanjaan keluarga yang semakin
meningkat. Dengan rutin sedemikian rupa, di manakah masa guru tersebut untuk
anak-anaknya? Apabila balik pada lewat malam, guru tersebut telah keletihan dan
perlu berehat kerana perlu mengajar pada keesokan harinya. Besar kemungkinan,
anak-anaknya pada waktu tersebut telah tidur. Bilakah masa yang dimilki oleh
guru tersebut untuk bersosial bersama anak-anaknya ?
Guru tersebut sebagai
bapa tidak menjalankan tanggungjawabnya sebagai bapa yang memberi didikan agama
dan akhlak yang baik kepada anak-anaknya kerana sibuk mengejar kebendaan
semata-mata. Anak-anaknya menjadi mangsa kerakusan guru tersebut mengejar
kebendaan. kesannya kepada anak-anak adalah amat besar kerana tanpa didikan
agama yang cukup sewaktu kecil, mereka akan semakin sukar untuk dibentuk
apabila sudah mencapai usia remaja. Inilah yang menyumbang kepada
masalah-masalah sosial semasa. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah
daripada rebungnya. Apabila sudah sampai ke tahap akhlak moral yang kronik,
siapakah yang harus dipersalahkan ?
Sikap terlalu mengejar
kebendaan ini juga memberi kesan kepada institusi kejiranan. Apabila terlalu
sibuk sehingga perlu pulang pada lewat malam, bilakah masa yang ada untuk
berkenalan dan bersosial bersama dengan jiran di sebelah rumah dan rukun
tetangga yang lain? Pembangunan pesat bandar-bandar di Malaysia telah
melebarkan kawasan penempatan. Kemungkinan 15 tahun yang akan datang penduduk
di bandar akan meningkat lebih banyak kesan daripada dasar kerajaan yang hendak
menjadikan Malaysia sebagai negara maju pada tahun 2020. Perubahan ini sedang
berlaku sedikit demi sedikit dari utara hingga ke selatan. Kawasan bandar ini
telah mengubah corak tradisional masyarakat kampung kepada metropolitan yang memberi
kesan terhadap pengaruh politik, pembangunan fizial dan pengenalan sosial.
Contoh yang mudah ialah struktur rumah di bandar sangat berbeza dengan kampung
iaitu pembinaan rumah sangat rapat dan tidak ada ruangan yang mencukupi untuk
interaksi sosial di kalangan keluarga di luar rumah. Masyarakat juga memainkan
peranan yang penting dalam membentuk akhlak remaja secara amnya. “Keperluan material
yang ditumbuhkan setiap hari secara beransur-ansur semakin membesar menyebabkan
manusia menjadi penyembah konsumsi”
(Ali Shariati, 1980)
Kedua adalah daripada
aspek sikap yang tidak bertanggungjawab.Dr. Gustave Le Bon menyatakan sebab-sebab kerosakan suatu bangsa
apabila berlakunya dekadensi atau kerosakan moral yang berpunca daripada sikap
tidak bertanggungjawab membudaya pada bangsa itu (Muqdad Yaljan, 1986). Aspek
tidak bertanggungjawab ini boleh dipecahkan kepada 2 iaitu, tanggungjawab
terhadap diri dan orang lain dan tanggungjawab terhadap harta benda.
Sikap yang tidak bertanggungjawab
terhadap orang lain seringkali dikaitkan dengan sikap mementingkan diri
sendiri. Sebagai contoh, seorang guru mengabaikan sesi pengajarannya
semata-mata kerana mahu minum di kedai yang terletak di luar sekolah. Guru ini
telah meninggalkan tanggungjawabnya mendidik anak bangsa dengan ilmu
pengetahuan yang amat dinanti-nantikan oleh murid-muridnya. Daripada aspek guru
pelatih pula, guru pelatih tidak menyiapkan kerja yang diberikan oleh pensyarah
dan asyik berdolak-dalik apabila ditanya bila mahu menghantar tugasan. Ini
menunjukkan bahawa guru pelatih tersebut tidak bertanggungjawab terhadap diri
sendiri kerana hanya mahu berseronok dan lupa bahawa sebagai guru pelatih,
tanggungjawab yang utama ialah belajar dan menyiapkan tugasan.
Sikap yang tidak
bertanggungjawab terhadap harta benda pula berkait rapat dengan merosakkan
harta benda awam dan harta benda di sekolah. Gejala-gejala seperti menconteng
kerusi dan meja, membuang sampah merata-rata, merosakkan telefon awam dan
merosakkan apa sahaja yang berada di depan mata mereka sudah menjadi lumrah
dalam masalah-masalah moral remaja sekolah.
Kesan sikap tidak
bertanggungjawab ini terhadap penghayatan nilai murni dan amalan nilai moral
adalah daripada segi individu itu sendiri. Individu yang tidak bertanggungjawab
akan terus terjerumus ke dalam kancah masalah sosial jika tidak dibentuk dengan
betul. Sikap tidak bertanggungjawab ini akan menghancurkan diri individu itu
sendiri tanpa ada sebarang tolak ansur. Orang yang boleh mengubah situasi ini
adalah individu itu sendiri namun sejauh mana keinginan individu itu untuk
berubah ? jelaslah sudah bahawa sikap bertanggungjawab hanya akan membawa
keburukan kepada individu.
Ketiga adalah kesan
daripada aspek media massa.
Media massa merupakan medium kepada akses ke dunia luar. Media massa melalui
media cetak dan media elektronik memainkan peranan penting dalam menghubungkan
individu ke dunia global. Pembentukan akhlak masyarakat menghadapi cabaran dari
pengaruh media-massa yang memberi kesan negatif kepada akhlak masyarakat,
khususnya golongan remaja. Dengan bermotifkan keuntungan, sesetengah media
massa seolah-olah tidak menghiraukan langsung bahawa program-program, tulisan,
rancangan-rancangan yang disajikan dan bahan-bahan yang dipaparkan kepada
golongan massa membawa wujudnya sikap hedonisme, budaya permissive atau
kebebasan yang bercanggah dengan agama dan budaya masyarakat.
Iklan-iklan yang
disiarkan langsung tidak menggambarkan budaya masyarakat ketimuran tetapi lebih
mempromosikan nilai hidup Barat yang serba bebas. Filem-filem yang ditayangkan
ada kalanya lebih mempromosi budaya Barat dari mengangkat martabat akal,
keilmuan dan kemanusiaan. Pengaruh media massa amat hebat sehingga banyak
perlakuan golongan remaja dicorakkan oleh media massa. Budaya hip-hop, rock,
punk dan lain-lain antara contoh budaya popular yang dipromosikan melalui media
massa. Akibatnya golongan remaja hari semakin terhakis jati diri mereka,
mengalami krisis identiti dan menjadi golongan peniru yang produktif.
Untuk membentuk
masyarakat yang berakhlak, media massa haruslah berperanan bersama dengan
pihak-pihak lain bagi membentuk memupuk dan mempromosikan nilai-nilai akhlak
yang mulia. Pengamal media haruslah bersedia mengkritik dan mendedahkan setiap
perlakuan yang menyimpang dari nilai-nilai keagamaan dan budaya masyarakat.
Setiap paparan dan rancangan yang disiarkan haruslah mengambil kira kesannya
kepada masyarakat sama ada jangka panjang atau pendek dan tidak hanya
memikirkan keuntungan atau populariti. Mereka boleh mencontohi rancangan yang
popular di Barat tetapi dalam masa yang sama ia harus bertunjangkan kepada
nilai keagamaan dan budaya masyarakat negara ini serta diadun dengan kreativiti
tinggi bagi menarik perhatian massa. Pihak yang berwajib hendaklah lebih tegas
mengawal kemasukan dan penyebaran unsur-unsur lucah sama ada dalam bentuk CD,
VCD dan lain-lain ke dalam pasaran terbuka atau gelap.
Keempat adalah kesan
daripada aspek pembangunan negara dari sudut sosio-ekonomi. Tidak dinafikan pembangunan adalah
sesuatu yang amat penting bagi mewujudkan masyarakat dan negara yang maju.
Malaysia selepas mencapai kemerdekaan telah menumpukan perhatian untuk
membangunkan ekonominya bagi mewujudkan pembangunan sosial, keseimbangan antara
kaum dan meningkatkan pendapatan rakyat. Kesan dari pembangunan yang pesat
telah menyebabkan berlakunya proses urbanisasi, industrilisasi dan penghijrahan
masyarakat dari luar bandar ke bandar.
Kesan positif dari
pembangunan ini memang tidak dinafikan, tetapi kesan negatifnya tetap ada,
antaranya berlaku peningkatan gejala sosial di dalam masyarakat. Krisis moral
ini berlaku apabila sesetengah pihak hanya melihat pembangunan itu dari
perspektif kebendaan semata-mata atau bertujuan untuk memaksimakan keuntungan. Mereka
yang didorong dengan motif mencari keuntungan tidak langsung peka kepada soal
pembentukan akhlak masyarakat.. Apa tidaknya, peniaga yang dahagakan keuntungan
yang berlipat kali ganda telah mengadaikan prinsip moral menjual VCD lucah dan
membuka kelab-kelab hiburan yang menghidangkan arak secara berleluasa, wanita
GRO dan tempat pengedaran pil ekstasi. Akibatnya, ia menjadi pusat keruntuhan
akhlak. Ia telah meruntuhkan usaha-usaha pihak lain termasuk kerajaan untuk
membina masyarakat yang berakhlak mulia.
Untuk menyelesaikan
masalah di atas, kita harus kembali kepada konsep pembangunan Islam yang
holistik, iaitu meliputi aspek-aspek moral, spiritual dan material. Pembangunan
harus berorientasikan kepada peningkatan martabat manusia sampai ke tingkat yang
setinggi-tingginya dalam semua dimensi. Aspek-aspek moral dan material, ekonomi
dan sosial serta spiritual dan fizikal tidak dapat dipisahkan antara satu sama
lain. Yang menjadi fokus utama dalam pembangunan adalah manusianya bukan hanya
dinilai dari sudut peningkatan kadar pertumbuhan ekonomi sebagai indikator
pembangunan (Khurshid Ahmad, 1982). Melalui pendekatan pembangunan Islam yang
holistik, berorientasikan nilai dan pelbagai dimensi itu diharapkan ia mampu
membentuk akhlak masyarakat yang bukan sahaja maju dari sudut materialnya
tetapi turut maju dalam aspek akhlaknya.
Kemajuan yang hanya
menekankan satu dimensi adalah kemajuan yang tempang, yang akhirnya akan
merosakkan kemajuan kebendaan. Penumpuan yang keterlaluan kepada aspek
kebendaan hanya menjadikan manusia sebagai binatang ekonomi seperti mana yang
wujud dalam kapitalisme. Ekonomisme merupakan dasar falsafah kapitalis Barat
yang membawa manusia menyembah kebendaan.
Kelima adalah
kesan daripada keruntuhan institusi kekeluargaan. Institusi kekeluargaan
yang roboh adalah antara elemen yang memberi cabaran utama penghayatan dan
amalan nilai-nilai murni. Institusi kekeluargaan yang telah runtuh akan
mendatangkan masalah yang besar kepada amalan nilai-nilai murni remaja kerana
tidak ada orang yang akan memberitahu dan mengajar mereka apa yang baik dan apa
yang buruk.
Umum mengetahui
peranan pembentukan akhlak masyarakat tidak hanya terletak kepada institusi
formal semata-mata tanpa diiringi dan dibantu oleh institusi keluarga.
Institusi keluarga yang diterajui oleh bapa dan ibu wajib memainkan peranan
yang utama dalam membentuk akhlak anak-anaknya, kerana masyarakat sebenarnya
adalah jelmaan dari set-set keluarga. Keruntuhan akhlak masyarakat Barat
umpamanya berpunca dari runtuhnya institusi keluarga mereka yang telah gagal
melahirkan manusia yang beradab. Hakikat ini dinyatakan oleh Ferdinand Lundberg
apabila beliau membuat kesimpulan bahawa institusi keluarga sekarang mendekati
titik kemusnahan yang menyeluruh (Tofler, 1970).
Kalau di Barat institusi
keluarga mereka sudah tidak dapat diharapkan lagi untuk melahirkan manusia yang
berakhlak, bagaimana pula realiti institusi keluarga di negara ini?. Satu
kesimpulan yang umum dapat dibuat ialah institusi keluarga di negara ini sedang
bergerak mengikut trend di Barat. Keadaan ini disebabkan pelbagai faktor,
antaranya kesan dari pembangunan kebendaan dan pengaruh globalisasi yang
melahirkan manusia yang tidak mengambil berat soal-soal agama dan bersifat
kebendaan. Akibatnya, terdapat ibu bapa yang tidak menghiraukan sangat soal
pendidikan agama dan akhlak kepada anak-anak mereka. Mereka beranggapan faktor
utama kebahagiaan itu terletak kepada kemewahan hidup.
Justeru itu, mereka
lebih banyak menghabiskan masa di tempat kerja dan mempunyai sedikit masa dengan
anak-anak. Anak-anak yang terabai ini kemudiannya mencari keseronokan di luar
rumah, lebih mendampingi rakan sebaya mereka lantas dipengaruhi oleh
persekitarannya yang dominan dan akhirnya terjebak dalam krisis moral. Kadar
penceraian yang semakin meningkat, bertambahnya kes-kes penderaan terhadap
isteri, kes khalwat yang meningkat, anak lari dari rumah, penyalahgunaan dadah
yang saban tahun terus meningkat. Kesemua gejala tersebut adalah di antara
indikator-indikator berlakunya keruntuhan dalam institusi keluarga di negara
ini. Rumah tangga sudah tidak lagi menjadi tempat aman bagi keluarga untuk
menikmati kebahagiaan dan kedamaian hidup. Rumah tangga tidak lagi menjadi
‘syurga’ tetapi ‘neraka’ yang akhirnya melahirkan gejala sosial yang telah
disebutkan.
Keharmonian rumah
tangga terletak di atas tanggungjawab kaum lelaki, tetapi malangnya kaum lelaki
yang sepatutnya berperanan sebagai ketua rumah tangga sedang mengalami krisis
kredibiliti, ramai yang dirosakkan oleh najis dadah, suka berfoya-foya, kaki pukul
dan dilanda dengan krisis moral yang lain. Apakah lelaki begini mampu mengetuai
sebuah rumah tangga yang berperanan sebagai bapa dan suami bagi mendidik anak
dan isterinya menjadi seorang yang berakhlak? Bagi melahirkan generasi yang
berakhlak, peranan institusi keluarga amat penting ke arah mencapai matlamat
tersebut. Institusi keluarga perlu diperkasa semula melalui pelbagai strategi
sama ada dilakukan oleh pihak kerajaan atau pertubuhan-pertubuhan agama dan
sosial.
Pasangan yang bakal
mendirikan rumah tangga perlu diberi latihan secukupnya bagi mendedahkan mereka
kepada tanggungjawab suami isteri serta ilmu dalam mengurus rumah tangga. Di
Malaysia banyak pusat latihan telah ditubuhkan, tetapi tidak ada satu pun pusat
latihan yang khusus ditubuhkan untuk memberi latihan bagi memperkasa pengurusan
rumah tangga sama ada untuk mereka yang hendak mendirikan rumah tangga atau
sudah berumahtangga. Latihan ini amat penting dilakukan bagi menyediakan
suasana rumah tangga yang mampu membentuk keperibadian manusia unggul.
Golongan wanita juga
perlu membuat muhasabah peranan mereka yang utama pada hari ini sama ada untuk
berpartisipasi secara aktif dalam kegiatan luar rumah dengan mengabaikan
tanggungjawab asasi mereka sebagai ibu dan isteri atau mengutamakan
kedua-duanya atau menumpukan sepenuh perhatian terhadap rumahtangga bagi
mendidik anak-anak menjadi manusia yang berguna. Apa pun zamannya, golongan
wanita tidak boleh melupakan hakikat bahawa mereka adalah mahaguru pertama
kepada anak-anaknya. Tanggungjawab mereka yang asasi adalah membentuk generasi
yang berakhlak dan berilmu pengetahuan.
3.0 Penutup
Dalam keghairahan mengejar kemajuan, kita jangan alpa tentang peri pentingnya
peranan dan pemupukan nilai akhlak dalam masyarakat. Akhlak adalah pengukur
kepada kemajuan, kerana ia berperanan penting melahirkan manusia yang
mengamalkan nilai-nilai hidup yang baik serta berperanan mencetus kemajuan.
Pembentukan nilai akhlak harus menjadi agenda nasional dan perlu kesepaduan
usaha dari semua pihak. Untuk membina masyarakat yang berakhlak kita perlu
suasana yang konstruktif kepada nilai itu berkembang dan berusaha untuk
menyekat suasana yang boleh mengikis nilai-nilai akhlak. Kita harus mengingati
selalu kata-kata seorang penyair Mesir, Syauqi Bey yang berkata;
"Sesungguhnya bangsa itu kekal selama berakhlak. Bila akhlaknya telah
lenyap, maka lenyap pulalah bangsa itu".
Bibliografi
1. Ali Shariati, 1980. Marxism and other
Western Fallacies. Berkeley: Mizan Press.
2. Khurshid Ahmad, 1982. “Islam and the chellenge
of economic development” dalam Islam in transition, Muslim
perspectives (ed) John. J. Donohue dan John L. Esposito. New York:
Oxford University Press.
3. Muqdad Yaljan. 1986. Peranan
pendidikan akhlak Islam. Kuala Lumpur: Pustaka Antara.
4. Hasan Mohd Ali (2000). Mendidik Anak-Anak,
Kuala Lumpur: Sabha DTP Services Sdn Bhd
5. Abdul Rahim M.Ali (2001). Ilmu
Pendidikan DPM, Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributors Sdn Bhd.
6. Peters, P. (1987). Moral development and moral
education. London: Allen &
Kegan Paul.
7. Tam, Y.K. (2006). Pendidikan Moral: Konsep dan
pedagogi Pendidikan Moral untuk pelajar-pelajar KPLI, LPBS dan PISMP
Maktab-maktab Perguruan. Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.
terima kasih Dr, nota yang Dr kongsikan banyak membantu memudahkan penyediaan nota kepada pelajar.
ReplyDelete