PENDEKATAN DALAM PENDIDIKAN MORAL
(Adaptasi:
Prof. Dr. Chang Lee Hoon)
Pendahuluan
Terdapatnya beberapa pendekatan pendidikan moral yang telah
diperkenalkan melalui pelbagai program pendidikan moral atau nilai sejak
1960an. Pendekatan-pendekatan ini telah digunakan dalam pengajaran dan
pembelajaran pendidikan moral sama ada di negara barat atau timur, termasuklah
negara kita. Namun begitu, seperti yang mungkin disedari bahawa kesemua
pendekatan ini boleh dikatakan sesuai jika diubahsuaikan mengikut konteks
budaya negara kita. Oleh itu, telah menjadi satu kebiasaan di mana seseorang
guru mengabung beberapa pendekatan dan menggunakan pendekatan pendidikan moral
secara ekeltik.
Antara pendekatan yang telah diusahakan melalui pelbagai program
pendidikan moral yang mungkin boleh digunakan dalam konteks Pendidikan Moral di
negara kita ialah:
1. Pemupukan Nilai
2. Perkembangan Moral Kognitif
3. Analisis Nilai
4. Penjelasan Nilai
5. Pendekatan Penyayang (Caring)
6. Pendekatan Pembelajaran Kooperatif
Pendekatan tersebut memberi beberapa alternatif dalam pengajaran
dan pembelajaran pendidikan moral yang seharusnya merangkumi ketiga-tiga
dimensi penaakulan/pemikiran moral, perasaan/emosi moral dan perlakuan/
tindakan moral.
1. Pendekatan Pemupukan Nilai
Fokus utama dalam pemupukan nilai ialah menanamkan set nilai
budaya masyarakat ke dalam diri individu supaya menjamin kesinambungan budaya
masyarakat tersebut. Set nilai inti dianggap sebagai standard tingkah laku
mural yang patut diamalkan dalam kehidupan harian, sama ada secara peribadi
atau dalam hubungannya dengan orang lain.
Pendekatan pemupukan nilai boleh dilaksanakan melalui cara yang
berikut:
(a) Melalui contoh teladan daripada tokoh-tokoh tempatan, negara
dan luar negeri.
(b) Pengukuhan perlakuan positif kepada tingkah laku yang baik
dan dendaan yang sesuai bila berlakunya tingkah laku negatif.
(c) Memberi keterangan serta memanipulasi keadaan atau
pengalaman yang dialamai oleh pelajar supaya mereka menerima dengan baiknya
sesuatu nilai yang dikehendaki.
Pendekatan pemupukan nilai tidak boleh dikaitkan dengan
pendekatan indoktrinasi atau propaganda yang hanya menekankan penerimaan
sesuatu doktrin tanpa mengambil kira pemikiran
yang rasional. Pendekatan pemupukan nilai memberi peluang kepada pelajar memahami,
menganalisis sesuatu nilai sebelum menerima and menghayati nilai tersebut yang
berlandaskann kepada prinsip moral, Walaupun pendekatan ini mudah digunakan, ialah
lebih cenderung kepada pemusatan guru dalam pengajaran dan pembelajaran pendidikan
moral. Oleh itu, guru perlu menggunakan pendekatan lain yang memberi peluang
yang lebih kepada pelajar melibatkan secara aktif dalam pengajaran dan pembelajaran
pendidikan moral.
2. Pendekatan Perkembangan Moral Kognitif
Pendekatan perkembangan moral kognitif berdasarkan kepada teori perkembangan
moral kognitif yang telah dikaji oleh beberapa ahli psikologi perkembangan
seperti Piaget (1932) dan Kohlberg (1975). Pendekatan ini bertujuan untuk
membimbing seseorang mengembang pertimbangan moral secara peringkat iaitu bermula
daripada peringkat mematuhi peraturan moral kerana takut hukuman oleh pihak yang
berautoriti sehingga peringkat berautonomi di mana keputusan moral ialah berasaskan
kepada prinsip moral yang sejagat.
Pendekatan ini dilaksanakan dengan menggunakan dilemma moral
sebagai rangsangan. Dilema moral merujuk kepada sesuatu keadaan di mana
terdapatnya konflik nilai dan memerlukan seseorang membuat pilihan nilai dan
beri sebab atau justifikasi ke atas keputusannya. Dilema moral ini boleh
terdiri daripada dilemma hipotetikal (direka, kesusasteraan atau isi kandungan
sesuatu disiplin) atau yang benar-benar (real-life)berlaku dalam kehidupan seseorang tersebut.
Cara melaksanakan pendekatan perkembangan moral kognitif ialah
seperti yang berikut:
(a) Mengemukakan satu dilema moral dan soalan probe untuk
seseorang berfikir tentang beberapa alternative dalam dilemma tersebut.
(b) Membuat pilihan moral dan memberi sebab ke atas pilihan
tersebut.
(c) Berdasarkan kepada sebab yang diberikan tentukan peringkat pertimbangan
moral
(d) Tambah soalan probe
untuk meningkatkan tahap pemikiran moral
murid.
Dalam menggunakan pendekatan ini, seorang guru harus menerima
pendapat pelajar dengan fikiran terbuka dan membimbing mereka mempertingkatkan
tahap penaakulan moral mereka. Yang menjadikan fokus dalam pendekatan ini ialah
proses (struktur) bukan keputusan (kandungan) penaakulan/pertimbangan. Oleh
kerana pendekatan ini lebih memokuskan kepada aspek kognitif moral, maka guru
perlu menggunakan pendekatan lain supaya aspek emosi moral dan perlakuan moral
diberikan penekanan
yang setara.
3. Pendekatan Analisis Nilai
Fokus utama pendekatan analisis nilai ialah memberi kemahiran
pemikiran yang logik dan sistematik dalam penyelesaian sesuatu isu nilai
seperti isu berkaitan dengan polisi awam (seperti keselamatan negara, dadah),
hak individu dan alam sekitar. Pendekatan ini memerlukan seseorang mengumpul
dan menimbangkan fakta yang releven sebelum membuat sesuatu keputusan.
Cara melaksanakan pendekatan analisis nilai ialah seperti yang
berikut.
(a) Kenal pasti dan menjelaskan soalan/isu nilai
(b) Mengumpul fakta/bukti untuk membuat pertimbangan nilai
(c) Menilai fakta yang relevan dan membuat keputusan tentatif
(d) Menguji keputusan tentative dengan situasi yang berbeza, meletakan
diri ke dalam situasi sebenar atau berdasarkan kepada prinsip moral yang
sejagat
Pendekatan ini akan melibatkan pelajar secara aktif dalam proses
menganalisis nilai secara objektif yang berasaskan kepada fakta yang relevan.
Oleh kerana pendekatan ini menekankan kepada lebih kepada aspek kognitif
berbanding dengan aspek emosi/afektif dalam proses analisis nilai, maka guru
disarankan agar juga menggunakan pendekatan
lain dalam pengajaran dan pembelajaran pendidikan moral.
4. Pendekatan Penjelasan Nilai
Pendekatan penjelasan nilai membimbing pelajar menyedari dan
kenal pasti tentang perasaan dan nilai peribadi dan orang lain sertai
berkomunikasi secara terbuka nilainya kepada orang lain. Pendekatan ini
melibatkan penggunaan pemikiran rasional dan kesedaran emosi diri dan orang
lain dalam pembentukan sesuatu set nilai peribadinya.
Cara melaksanakan pendekatan penjelasan nilai merangkumi tiga
proses menjelaskan nilai kendiri seseorang individu seperti yang berikut:
I Proses memilih:
(i) memilih secara bebas
(ii) dari pelbagai pilihan yang sedia ada
(iii) menimbangkan kesan-kesan ke atas setiap pilihan
II Proses menghargai
(iv) mengharagi setiap keputusan yang telah diambil
(v) menyatakan secara terbuka
III Proses bertindak
(vi) bertindak ke atas keputusan yang telah diambil
(vii) sentiasa mengamalkan nilai yang dipilih secara berterusan
dalam kehidupannya.
Dalam mengendalikan pendekatan penjelasan nilai, guru berperanan
sebagai seorang fasilitator atau pembimbing. Guru perlu menerima segala keputusan
yang telah diambil oleh pelajar tanpa memihak kepada mana-mana pelajar .
Masalah akan timbul sekiranya keputusan pelajar bertentangan dengan nilai murni
masyarakat Malaysia. Untuk mengatasi masalah ini, guru perlu peka dan
menggambungkan pendekatan ini dengan pendekatan lain (seperti analisis nilai)
supaya lebih membimbing pelajar membuat keputusan yang lebih menepati aspirasi
masyarakat dan negara.
5. Pendekatan Penyayang (Caring)
Pendekatan penyayang atau caring
dalam pendidikan moral berasaskan kepada kritikan
pendekatan yang memberi tumpuan kepada konsep saling pergantungan dan prihatin
dalam sesuatu perhubungan dan pertalian dengan orang lain. Pendekatan penyayang
ini bertujuan untuk mengekal dan mengekuhkan amalan penyayang di dalam diri
sendiri dan sesiapa sahaja seorang individu itu mempunyai perhubungan. Ini bermaksud
bahawa perkembangan penyayang seorang individu adalah sesuatu dalaman.
Cara melaksanakan pendekatan penyayang ialah melalui empat aspek
yang berikut.
(a) Modeling - tumpuan harus diberika kepada perkembangan
pelajar sebagai seorang yang memberi sayang (carer)
dan menerima sayang (cared for).
Melalui teladan, maka konsep penyayang dapat ditunjukkan dalam tingkah laku
yang mereka boleh memerhati dan mengikuti.
(b) Dialog - diadakan dengan pelajar tentang konsep penyayang
dengan membimbing pelajar membuat refleksi dan menganalisis perlakuan dan
reaksinya sebagai seorang yang dapat memberi sayang (carer) dan
perhubungannya dengan orang yang memberikan sayang (cared for).
(c) Amali - mengadakan amali dalam menjalankan usaha penyayang
bersama dengan model dewasa seperti melibatkan dalam khidmat sosial atau
komuniti.
(d) Pengesahan - mengesah dan menggalakkan “the best in others”
dalam perhubungan antara individu.
Pendekatan penyayang ini mengembangkan tingkah laku moral yang
mengekalkan prihatin/penyayang dalam masyarakat dengan cara caregiving bukan caretaking. Oleh kerana
pendekatan ini lebih mengutamakan prinsip penyayang (care), maka
guru disarankan supaya menggabungkan pendekatan yang mengembangkan prinsip
keadilan dalam pengajaran dan pembelajaran pendidian moral.
6. Pendekatan Pembelajaran Secara koperatif
Pendekatan pembelajaran secara koperatif akan mewujudkan suasana
pembelajaran yang saling pengantungan positif di mana pelajar akan bekerja dan
belajar bersama-sama untuk mencapai sesuatu matlamat yang tertentu.
Pembelajaran secara koperatif mempunyai ciri-ciri yang tertentu yang membezakan
daripada aktiviti di mana murid berkumpul untuk melakukan sesuatu aktiviti seperti
yang digambarkan dalam jadual yang berikut:
Pembelajaran
berkumpulan secara koperatif:
Saling pengantungan positif
Akauntabiliti individu
Kumpulan yang heterogenous
Bersama-sama memimpin
Bersama-sama bertanggungjawab
Penekanan kepada tugas dan proses
Kemahiran sosial diajar secara langsung
Guru memerhati dan membimbing
Kumpulan menilai keberkesanan kendiri
(Sumber: Johnson Johnson & Holubee dalam Gunter,
Estes & Schwab, 1999.
Instruction. A models approach (3rd ed.).
Boston: Allyn and Bacon)
Pendekatan pembelajaran secara kooperatif boleh dilaksanakan
melalui pelbagai aktiviti yang berikut:
berfikir-berpasangan-berkongsi
permainan
main peranan
projek
jigsaw
Pendekatan pembelajaran secara kooperatif dapat mewujudkan
kepekaan terhadap perasaaan dan pandangan ahli kumpulan lain dan seterusnya
kesefahaman dan saling hormat antara satu sama lain untuk kebaikan bersama.
Segala konflik yang dihadapi oleh kumpulan juga akan dapat ditangani secara
bekerjasama dan bertanggungjawab bersama untuk memastikan bahawa kumpulan
berjaya. Pendekatan ini amat digalakkan dalam pengajaran dan pembelajaran
pendidikan moral.
Kesimpulan
Pendekatan dalam pendidikan moral yang dibentukkan adalah
berasaskan kepada pelbagai teori yang berkaitan dengan perkembangan moral dan
pembentukan sahsiah individu. Dengan menguasai pendekatan-pendekatan ini, guru
dapat memilih teknik pengajaran dan pembelajaran yang sesuai untuk mengembang
ketiga-tiga aspek dalam pendidikan moral iaitu pemikiran moral, perasaan moral
dan amalan moral. Selain daripada itu, seorang guru harus mewujudkan satu
suasana atau iklim moral dalam pembelajaran dan pembelajaran pendidian moral.
Iklim atau suasana moral akan wujud jika adanya amalan nilai-nilai murni di
kalangan pelajar dan guru sendiri.
Rujukan
Abdul Rahman Md. Aroff (1999). Pendidikan
moral. Teori etika dan amalan moral. Serdang:
University Putra Malaysia.
Chang Lee Hoon (2001). “Penggunaan vignette dalam kajian
penaakulan moral di kalangan pelajar tingkatan empat”. Dalam Marohaini Yusoff
(ed.). Penyelidikan
kualitatif: pengalaman kerja lapangan kajian (m.s. 155
– 187). Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.
Gilligan, C. (1982). In
a different voice: Psychological theory and women’s development. Cambridge, MA: Harvard University Press.
Narvaez, D. (2001). Community
voices and character education. Minnesota
Department of Children, Families & Learning and University of Minnesota.
Noddings, N. (1984). Caring:
a feminine approach to ethics and moral education. Berkeley: University of California Press.
Nucci, L. P. (2001). Education
in the moral domain. Cambridge: Cambridge University Press.
Prillaman, A.R., Eaker, D.J. & Kendrick, D.M. (eds.) (1994).
The tapestry of caring: education
as nurturance. Norwood, N.J.: Ablex Publishing
Corporation.
Rest, J., Narvaez, D, Bebeau, M., Thoma, S. (1999). Postconventional moral thinkihg: A neo-Kohlbegian
approach. Mahwah: NJ, Erlbaum.