Sunday 22 July 2012


PENDEKATAN DALAM PENDIDIKAN MORAL

(Adaptasi: Prof. Dr. Chang Lee Hoon)


Pendahuluan

Terdapatnya beberapa pendekatan pendidikan moral yang telah diperkenalkan melalui pelbagai program pendidikan moral atau nilai sejak 1960an. Pendekatan-pendekatan ini telah digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran pendidikan moral sama ada di negara barat atau timur, termasuklah negara kita. Namun begitu, seperti yang mungkin disedari bahawa kesemua pendekatan ini boleh dikatakan sesuai jika diubahsuaikan mengikut konteks budaya negara kita. Oleh itu, telah menjadi satu kebiasaan di mana seseorang guru mengabung beberapa pendekatan dan menggunakan pendekatan pendidikan moral secara ekeltik.

Antara pendekatan yang telah diusahakan melalui pelbagai program pendidikan moral yang mungkin boleh digunakan dalam konteks Pendidikan Moral di negara kita ialah:
1. Pemupukan Nilai
2. Perkembangan Moral Kognitif
3. Analisis Nilai
4. Penjelasan Nilai
5. Pendekatan Penyayang (Caring)
6. Pendekatan Pembelajaran Kooperatif

Pendekatan tersebut memberi beberapa alternatif dalam pengajaran dan pembelajaran pendidikan moral yang seharusnya merangkumi ketiga-tiga dimensi penaakulan/pemikiran moral, perasaan/emosi moral dan perlakuan/ tindakan moral.

1. Pendekatan Pemupukan Nilai
Fokus utama dalam pemupukan nilai ialah menanamkan set nilai budaya masyarakat ke dalam diri individu supaya menjamin kesinambungan budaya masyarakat tersebut. Set nilai inti dianggap sebagai standard tingkah laku mural yang patut diamalkan dalam kehidupan harian, sama ada secara peribadi atau dalam hubungannya dengan orang lain.

Pendekatan pemupukan nilai boleh dilaksanakan melalui cara yang berikut:

(a) Melalui contoh teladan daripada tokoh-tokoh tempatan, negara dan luar negeri.
(b) Pengukuhan perlakuan positif kepada tingkah laku yang baik dan dendaan yang sesuai bila berlakunya tingkah laku negatif.
(c) Memberi keterangan serta memanipulasi keadaan atau pengalaman yang dialamai oleh pelajar supaya mereka menerima dengan baiknya sesuatu nilai yang dikehendaki.

Pendekatan pemupukan nilai tidak boleh dikaitkan dengan pendekatan indoktrinasi atau propaganda yang hanya menekankan penerimaan sesuatu doktrin tanpa mengambil kira  pemikiran yang rasional. Pendekatan pemupukan nilai memberi peluang kepada pelajar memahami, menganalisis sesuatu nilai sebelum menerima and menghayati nilai tersebut yang berlandaskann kepada prinsip moral, Walaupun pendekatan ini mudah digunakan, ialah lebih cenderung kepada pemusatan guru dalam pengajaran dan pembelajaran pendidikan moral. Oleh itu, guru perlu menggunakan pendekatan lain yang memberi peluang yang lebih kepada pelajar melibatkan secara aktif dalam pengajaran dan pembelajaran pendidikan moral.


2. Pendekatan Perkembangan Moral Kognitif

Pendekatan perkembangan moral kognitif berdasarkan kepada teori perkembangan moral kognitif yang telah dikaji oleh beberapa ahli psikologi perkembangan seperti Piaget (1932) dan Kohlberg (1975). Pendekatan ini bertujuan untuk membimbing seseorang mengembang pertimbangan moral secara peringkat iaitu bermula daripada peringkat mematuhi peraturan moral kerana takut hukuman oleh pihak yang berautoriti sehingga peringkat berautonomi di mana keputusan moral ialah berasaskan kepada prinsip moral yang sejagat.

Pendekatan ini dilaksanakan dengan menggunakan dilemma moral sebagai rangsangan. Dilema moral merujuk kepada sesuatu keadaan di mana terdapatnya konflik nilai dan memerlukan seseorang membuat pilihan nilai dan beri sebab atau justifikasi ke atas keputusannya. Dilema moral ini boleh terdiri daripada dilemma hipotetikal (direka, kesusasteraan atau isi kandungan sesuatu disiplin) atau yang benar-benar (real-life)berlaku dalam kehidupan seseorang tersebut.

Cara melaksanakan pendekatan perkembangan moral kognitif ialah seperti yang berikut:
(a) Mengemukakan satu dilema moral dan soalan probe untuk seseorang berfikir tentang beberapa alternative dalam dilemma tersebut.
(b) Membuat pilihan moral dan memberi sebab ke atas pilihan tersebut.
(c) Berdasarkan kepada sebab yang diberikan tentukan peringkat pertimbangan
moral
(d) Tambah soalan probe untuk meningkatkan tahap pemikiran moral murid.

Dalam menggunakan pendekatan ini, seorang guru harus menerima pendapat pelajar dengan fikiran terbuka dan membimbing mereka mempertingkatkan tahap penaakulan moral mereka. Yang menjadikan fokus dalam pendekatan ini ialah proses (struktur) bukan keputusan (kandungan) penaakulan/pertimbangan. Oleh kerana pendekatan ini lebih memokuskan kepada aspek kognitif moral, maka guru perlu menggunakan pendekatan lain supaya aspek emosi moral dan perlakuan moral diberikan penekanan
yang setara.

3. Pendekatan Analisis Nilai

Fokus utama pendekatan analisis nilai ialah memberi kemahiran pemikiran yang logik dan sistematik dalam penyelesaian sesuatu isu nilai seperti isu berkaitan dengan polisi awam (seperti keselamatan negara, dadah), hak individu dan alam sekitar. Pendekatan ini memerlukan seseorang mengumpul dan menimbangkan fakta yang releven sebelum membuat sesuatu keputusan.

Cara melaksanakan pendekatan analisis nilai ialah seperti yang berikut.
(a) Kenal pasti dan menjelaskan soalan/isu nilai
(b) Mengumpul fakta/bukti untuk membuat pertimbangan nilai
(c) Menilai fakta yang relevan dan membuat keputusan tentatif
(d) Menguji keputusan tentative dengan situasi yang berbeza, meletakan diri ke dalam situasi sebenar atau berdasarkan kepada prinsip moral yang sejagat

Pendekatan ini akan melibatkan pelajar secara aktif dalam proses menganalisis nilai secara objektif yang berasaskan kepada fakta yang relevan. Oleh kerana pendekatan ini menekankan kepada lebih kepada aspek kognitif berbanding dengan aspek emosi/afektif dalam proses analisis nilai, maka guru disarankan agar juga menggunakan pendekatan
lain dalam pengajaran dan pembelajaran pendidikan moral.

4. Pendekatan Penjelasan Nilai

Pendekatan penjelasan nilai membimbing pelajar menyedari dan kenal pasti tentang perasaan dan nilai peribadi dan orang lain sertai berkomunikasi secara terbuka nilainya kepada orang lain. Pendekatan ini melibatkan penggunaan pemikiran rasional dan kesedaran emosi diri dan orang lain dalam pembentukan sesuatu set nilai peribadinya.

Cara melaksanakan pendekatan penjelasan nilai merangkumi tiga proses menjelaskan nilai kendiri seseorang individu seperti yang berikut:

I Proses memilih:
(i) memilih secara bebas
(ii) dari pelbagai pilihan yang sedia ada
(iii) menimbangkan kesan-kesan ke atas setiap pilihan

II Proses menghargai
(iv) mengharagi setiap keputusan yang telah diambil
(v) menyatakan secara terbuka

III Proses bertindak
(vi) bertindak ke atas keputusan yang telah diambil
(vii) sentiasa mengamalkan nilai yang dipilih secara berterusan dalam kehidupannya.

Dalam mengendalikan pendekatan penjelasan nilai, guru berperanan sebagai seorang fasilitator atau pembimbing. Guru perlu menerima segala keputusan yang telah diambil oleh pelajar tanpa memihak kepada mana-mana pelajar . Masalah akan timbul sekiranya keputusan pelajar bertentangan dengan nilai murni masyarakat Malaysia. Untuk mengatasi masalah ini, guru perlu peka dan menggambungkan pendekatan ini dengan pendekatan lain (seperti analisis nilai) supaya lebih membimbing pelajar membuat keputusan yang lebih menepati aspirasi masyarakat dan negara.

5. Pendekatan Penyayang (Caring)

Pendekatan penyayang atau caring dalam pendidikan moral berasaskan kepada kritikan pendekatan yang memberi tumpuan kepada konsep saling pergantungan dan prihatin dalam sesuatu perhubungan dan pertalian dengan orang lain. Pendekatan penyayang ini bertujuan untuk mengekal dan mengekuhkan amalan penyayang di dalam diri sendiri dan sesiapa sahaja seorang individu itu mempunyai perhubungan. Ini bermaksud bahawa perkembangan penyayang seorang individu adalah sesuatu dalaman.

Cara melaksanakan pendekatan penyayang ialah melalui empat aspek yang berikut.

(a) Modeling - tumpuan harus diberika kepada perkembangan pelajar sebagai seorang yang memberi sayang (carer) dan menerima sayang (cared for). Melalui teladan, maka konsep penyayang dapat ditunjukkan dalam tingkah laku yang mereka boleh memerhati dan mengikuti.

(b) Dialog - diadakan dengan pelajar tentang konsep penyayang dengan membimbing pelajar membuat refleksi dan menganalisis perlakuan dan reaksinya sebagai seorang yang dapat memberi sayang (carer) dan perhubungannya dengan orang yang memberikan sayang (cared for).

(c) Amali - mengadakan amali dalam menjalankan usaha penyayang bersama dengan model dewasa seperti melibatkan dalam khidmat sosial atau komuniti.
(d) Pengesahan - mengesah dan menggalakkan “the best in others” dalam perhubungan antara individu.

Pendekatan penyayang ini mengembangkan tingkah laku moral yang mengekalkan prihatin/penyayang dalam masyarakat dengan cara caregiving bukan caretaking. Oleh kerana pendekatan ini lebih mengutamakan prinsip penyayang (care), maka guru disarankan supaya menggabungkan pendekatan yang mengembangkan prinsip keadilan dalam pengajaran dan pembelajaran pendidian moral.

6. Pendekatan Pembelajaran Secara koperatif

Pendekatan pembelajaran secara koperatif akan mewujudkan suasana pembelajaran yang saling pengantungan positif di mana pelajar akan bekerja dan belajar bersama-sama untuk mencapai sesuatu matlamat yang tertentu. Pembelajaran secara koperatif mempunyai ciri-ciri yang tertentu yang membezakan daripada aktiviti di mana murid berkumpul untuk melakukan sesuatu aktiviti seperti yang digambarkan dalam jadual yang berikut:

Pembelajaran berkumpulan secara koperatif:
Saling pengantungan positif
Akauntabiliti individu
Kumpulan yang heterogenous
Bersama-sama memimpin
Bersama-sama bertanggungjawab
Penekanan kepada tugas dan proses
Kemahiran sosial diajar secara langsung
Guru memerhati dan membimbing
Kumpulan menilai keberkesanan kendiri
(Sumber: Johnson Johnson & Holubee dalam Gunter, Estes & Schwab, 1999.
Instruction. A models approach (3rd ed.). Boston: Allyn and Bacon)

Pendekatan pembelajaran secara kooperatif boleh dilaksanakan melalui pelbagai aktiviti yang berikut:

berfikir-berpasangan-berkongsi
permainan
main peranan
projek
jigsaw

Pendekatan pembelajaran secara kooperatif dapat mewujudkan kepekaan terhadap perasaaan dan pandangan ahli kumpulan lain dan seterusnya kesefahaman dan saling hormat antara satu sama lain untuk kebaikan bersama. Segala konflik yang dihadapi oleh kumpulan juga akan dapat ditangani secara bekerjasama dan bertanggungjawab bersama untuk memastikan bahawa kumpulan berjaya. Pendekatan ini amat digalakkan dalam pengajaran dan pembelajaran pendidikan moral.

Kesimpulan
Pendekatan dalam pendidikan moral yang dibentukkan adalah berasaskan kepada pelbagai teori yang berkaitan dengan perkembangan moral dan pembentukan sahsiah individu. Dengan menguasai pendekatan-pendekatan ini, guru dapat memilih teknik pengajaran dan pembelajaran yang sesuai untuk mengembang ketiga-tiga aspek dalam pendidikan moral iaitu pemikiran moral, perasaan moral dan amalan moral. Selain daripada itu, seorang guru harus mewujudkan satu suasana atau iklim moral dalam pembelajaran dan pembelajaran pendidian moral. Iklim atau suasana moral akan wujud jika adanya amalan nilai-nilai murni di kalangan pelajar dan guru sendiri.

Rujukan
Abdul Rahman Md. Aroff (1999). Pendidikan moral. Teori etika dan amalan moral. Serdang: University Putra Malaysia.

Chang Lee Hoon (2001). “Penggunaan vignette dalam kajian penaakulan moral di kalangan pelajar tingkatan empat”. Dalam Marohaini Yusoff (ed.). Penyelidikan

kualitatif: pengalaman kerja lapangan kajian (m.s. 155 – 187). Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.

Gilligan, C. (1982). In a different voice: Psychological theory and women’s development. Cambridge, MA: Harvard University Press.

Narvaez, D. (2001). Community voices and character education. Minnesota Department of Children, Families & Learning and University of Minnesota.

Noddings, N. (1984). Caring: a feminine approach to ethics and moral education. Berkeley: University of California Press.

Nucci, L. P. (2001). Education in the moral domain. Cambridge: Cambridge University Press.
Prillaman, A.R., Eaker, D.J. & Kendrick, D.M. (eds.) (1994). The tapestry of caring: education as nurturance. Norwood, N.J.: Ablex Publishing Corporation.

Rest, J., Narvaez, D, Bebeau, M., Thoma, S. (1999). Postconventional moral thinkihg: A neo-Kohlbegian approach. Mahwah: NJ, Erlbaum.

No comments:

Post a Comment