Wednesday 27 August 2014

PENGALAMAN BERASASKAN SEKOLAH (PBS)


INSTITUT PENDIDIKAN GURU
KAMPUS TENGKU AMPUAN AFZAN

ELM3023E :   Kurikulum dan Kaedah Pengajaran Pendidikan Moral
              Moral Education Curriculum and Teaching Methods
Program:        PISMP
Unit:                TESL Semester 4 Ambilan Januari 2013
Sesi:               Jun-November 2014

Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS):
PBS merupakan salah satu komponen Amalan Profesional bagi Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP). Pelaksanaan PBS akan member kefahaman awal kepada pelajar tentang amalan persekolahan daripada perspektif seorang guru. PBS juga member peluang kepada pelajar memahami sekolah sebagai sebuah institusi pendidikan dan peranan guru dalam bilik darjah melalui pemerhatian, penelitian dokumen, refleksi dan interaksi dengan guru serta komuniti sekolah. Melalui PBS pelajar dapat memahami system pengurusan sekolah, tingkah laku murid, pengurusan bilik darjah dan tugas sebenar seorang.

Bagi PBS kali ini Unit TESL semester 4 telah ditetapkan menjalani aktiviti berkaitan mata pelajaran elektif 2 iaitu Pendidikan Moral. Pelajar dikehendaki melaksanakan aktiviti PBS berdasarkan semua aspek seperti yang ditetapkan.

Tempoh PBS adalah selama seminggu dan kehadiran adalah WAJIB. Pelajar yang tidak hadir kerana sakit atau cedera perlu mendapat pengesahan daripada doktor di hospital atau klinik kerajaan. Ketidak hadiran semasa PBS atas sebab-sebab tertentu perlu mendapat kebenaran daripada Pengarah/ Timbalan Pengarah IPGKTAA. Pelajar yang tidak cukup kehadiran PBS perlu melengkapkannya pada masa yang akan ditetapkan oleh Unit Praktikum.  

Pendidikan Moral:
Mata pelajaran Pendidikan Moral merupakan satu usaha untuk mendidik murid supaya menjadi insan yang bermoral dan berakhlak mulia dengan menekankan aspek perkembangan penaakulan moral, perasaan moral dan perlakuan moral. Mata pelajaran ini diharap dapat menghasilkan murid yang berpengetahuan, mempunyai perwatakan yang mulia, bersopan santun dan menyumbang secara produktif terhadap masyarakat dan negara.

Mata pelajaran Pendidikan Moral juga membolehkan murid menguasai pelbagai kemahiran; kemahiran penyelesaian konflik, kemahiran pemikiran kritikal, kemahiranpemikiran kreatif, kemahiran menentang tekanan rakan sebaya, kemahiran kajian masa depan, kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi, kemahiran kreativiti dan kemahiran sosial. Penguasaan kemahiran tersebut akan membantu murid membina daya tahan, menghadapi cabaran dan tekanan hidup dengan penuh keyakinan dan bertanggungjawab dalam kehidupan harian.

Untuk merealisasikan hasrat mata pelajaran Pendidikan Moral, Kurikulum Standard Pendidikan Moral (KSSR) sekolah rendah digubal. Kurikulum Standard Pendidikan Moral memberi tumpuan kepada usaha memupuk kerohanian dan moraliti murid. Kurikulum tersebut memberi fokus terhadap pemahaman, penghayatan dan amalan nilai murni universal yang terdapat dalam agama, tradisi dan adat resam pelbagai kaum, dan perundangan di negara ini.
Kurikulum Standard Pendidikan Moral bermatlamat membentuk insan berakhlak mulia dan berintegriti yang berpegang kepada nilai universal berasaskan prinsip moral dan menyumbang ke arah kesejahteraan negara serta masyarakat global.

Kurikulum Standard Pendidikan Moral sekolah rendah membolehkan murid untuk mencapai objektif berikut:

i.          memahami dan menghayati nilai-nilai universal;
ii.          menghayati dan mengamalkan budi pekerti mulia;
iii.         melaksanakan tanggungjawab moral dan sosial bagi mengekalkan kesejahteraan diri
            dengan keluarga, sekolah, jiran, masyarakat dan negara; dan
iv.        mengembangkan dan mengaplikasikan penaakulan moral, perasaan moral dan
            perlakuan moral dalam membuat pertimbangan dan keputusan.

  
ARAHAN AKTIVITI 1 PBS:

Semasa menjalani Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS) anda dikehendaki membuat penyelidikan dengan melaksanakan perkara berikut;

1.    Temubual
Anda dikehendaki mengadakan satu temubual dengan Ketua Panitia Pendidikan Moral berhubung dengan perancangan dan pelaksanaan mata pelajaran Pendidikan Moral KSSR dengan memberi fokus kepada;
-       Jumlah murid yang terlibat
-       Jumlah guru yang terlibat (termasuk kepakaran guru)
-       Jumlah waktu pengajaran dan pembelajaran
-       Masalah dan cara mengatasinya dalam pelaksanaan kurikulum Pendidikan Moral.
-       Program-program moral yang dilaksanakan oleh Panitia Pendidikan Moral (termasuk Latihan Dalam Perkhidmatan – LADAP).
-       Lain-lain yang berkaitan.

2.    Analisis Dokumen
Anda juga perlu meneliti dokumen-dokumen berkaitan dengan mata pelajaran Pendidikan Moral KSSR seperti;
-       Dokumen-dokumen kurikulum (Huraian Sukatan Pelajaran, Dokumen Standard dan Dokumen Standard dan Prestasi).
-       Rancangan Pelajaran Tahunan (dibina sendiri @ oleh PPD/ JPN).
-       Rancangan Pelajaran Harian.
-       Soalan-soalan ujian atau soalan peperiksaan.
-       Buku teks (mencukupi atau tidak/ penggunaannya oleh guru & murid).
-       Buku Rekod Mengajar (Format penulisan menepati ketetapan oleh Bahagian Pembangunan Kurikulum).
-       Bahan-bahan bantu mengajar yang digunakan.
-       Lain-lain yang berkaitan.

3.    Pemerhatian Pengajaran
Anda dikehendaki membuat pemerhatian satu sesi pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Moral KSSR dan meneliti perkara-perkara berikut:
-       Rancangan Pelajaran Harian (mengikut format BPK).
-       Fokus terhadap Penaakulan, perasaan dan perlakuan moral.
-       Alat Bantuan Mengajar.
-       Kaedah pembelajaran
-       Teknik-teknik
-       Pendekatan (pemupukan, analisis, penjelasan nilai, pembinaan rasional, perkembangan moral kognitif dll).
-       Elemen merentas kurikulum (kreativiti (iTHINK), ICT @ keusahawnan).
-       Aktiviti pengajaran dan pembelajaran (set induksi, perkembangan dan penutup)
-       Penilaian pembelajaran (menggunakan standard prestasi berdasarkan eviden)
-       Refleksi: Penguasaan murid berdasarkan Band atau Tahap dan objektif p&p.
-       Lain-lain yang berkaitan

Nota Peringatan:
Semua data atau maklumat temubual, dokumen dan pemerhatian pengajaran perlu didokumentasikan dalam bentuk gambar foto, audio-visual dan catatan lapangan.


ARAHAN AKTIVITI 2 PBS:

1. Berdasarkan data dan maklumat daripada penyelidikan semasa PBS anda dikehendaki
    menulis satu laporan yang komprehensif meliputi:
i.              Latarbelakang
ii.             Persembahan maklumat/ data bagi setiap item daripada Aktiviti 1 PBS.
iii.            Penilaian tentang maklumat/ data (ketepatan, komen dan ulasan).
iv.           Implikasi kepada anda sebagai penyelidik (refleksi kendiri).
v.            Lampiran berkaitan (jadual, graf, transkrip temubual, foto, video dll).

2. Penulisan laporan bertaip mestilah bercirikan penulisan ilmiah seperti ketetapan berikut:
      i.    Saiz fon 12.
      ii.   Huruf Times New Roman
      iii.  Langkau 1.5 baris (justify)
      iv.  Panjang 2500 hingga 3000 patah perkataan (sekurang-kurangnya 12 muka surat tidak   
            termasuk lampiran)

3. Tarikh pelaksanaan PBS adalah dari 22–26 September 2014.

4. Tarikh akhir penyerahan laporan adalah pada 17 Oktober 2014.

5. Penyerahan laporan adalah dalam bentuk hardcopy dan softcopy (satu salinan sahaja)

6. Hasil laporan juga akan dibincangkan bersama pensyarah semasa interaksi kuliah atau tutorial Pendidikan Moral.
















No comments:

Post a Comment