Pembelajaran Aktif dalam Pendidikan Moral: Inovasi dan Kreativiti Guru
Dr. Vishalache Balakrishnan
Jabatan Asas Pendidikan dan Kemanusiaan
Universiti Malaya
visha@um.edu.my
Pengenalan
Pembelajaran aktif bukanlah satu
idea yang baru. Sejak zaman Socrates lagi pembelajaran aktif sudah
dipraktikkan. Pendidik progresif seperti John Dewey menekankan kepentingan
pembelajaran aktif. Pembelajaran aktif merupakan satu pendekatan pengajaran dan
pembelajaran yang semakin popular dalam era ini. Guru digalakkan beralih
daripada pengajaran pasif ke pengajaran aktif dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Tetapi guru perlu ada inovasi dan kreativiti dalam imaginasi mereka sama ada di
dalam atau di luar bilik darjah untuk melaksanakan satu set aktiviti
pembelajaran aktif.
Apakah sebenarnya
yang dimaksudkan dengan pembelajaran aktif?
Pembelajaran aktif merujuk kepada pendekatan di mana murid
berinteraksi dengan bahan pengajaran. Murid melakukan sesuatu yang termasuk
mengenali, memproses and mengaplikasi informasi (nilai) yang diterima. Menurut
Meyers dan Jones (1993), pembelajaran aktif berasal daripada dua andaian: (1)
pembelajaran pada hakikatnya adalah satu aktiviti yang aktif dan (2) murid yang
berlainan mempunyai cara belajar yang berbeza.
Pembelajaran aktif menjadi realisasi apabila murid diberikan
peluang untuk berinteraktif dengan apa yang dipelajari. Ini sebenarnya
menggalakkan mereka memahami dan mengembangkan pengetahuan dan bukan menerima
pengetahuan secara pasif. Dalam persekitaran pembelajaran aktif, guru mengambil
posisi fasilitator dan bukan setakat penyampai ilmu sahaja.
Mengapakah
pembelajaran aktif diberikan keutamaan?
Kajian telah menunjukkan bahawa pembelajaran aktif merupakan
satu pendekatan yang efektif. Tidak kira apa mata pelajaran yang diajar, pembelajaran
aktif membolehkan murid mempelajari lebih banyak perkara, menyimpan informasi
lebih lama and berasa seronok dalam bilik darjah. Pembelajaran aktif
menggalakkan murid mempelajari daripada guru dan murid lain dibandingkan dengan
cara tradisional yang melibatkan murid itu sendiri sahaja. Kajian juga telah
menunjukkan bahawa penglibatan pasif secara umumnya membawa kepada retensi
pengetahuan yang terhad seperti yang ditunjukkan di bawah:
Kon Pembelajaran
Bagaimanakah
menyerap pembelajaran aktif dalam pengajaran anda?
Menggunakan pembelajaran aktif boleh menjadi satu cabaran
kepada guru dan murid yang tidak biasa dengan pendekatan tersebut. Guru sebagai
fasilitator menyerahkan sebahagian daripada kuasa mengawal kelas kepada murid
dan murid pula memikul tanggungjawab bukan hanya untuk apa yang dipelajari
tetapi juga cara mempelajari sesuatu yang diajar. Berikut adalah beberapa
teknik umum untuk memberikan peluang kepada murid untuk terlibat secara aktif
dalam pembelajaran mereka:
Think-pair-share ialah aktiviti
mudah yang boleh digunakan dalam kelas. Berikan masa untuk murid memikirkan
tentang sesuatu topik, minta mereka berbincang dengan kawan di sebelah dan
kemudian berkongsi hasil perbincangan tadi dengan seluruh kelas.
Minute Papers memberi peluang kepada
murid untuk sintesis pengetahuan mereka dan menanya soalan kepada isu yang
tidak terjawab. Berikan murid beberapa minit untuk menjawab soalan berikut
secara bertulis ataupun lisan: Apakah perkara yang paling penting yang kamu
pelajari hari ini? Apa yang kamu kurang faham? Pelbagaikan soalan sebegini dan
respon murid akan mengukuhkan proses pembelajaran mereka dan memberikan kamu feedback/maklum balas tentang pemahaman
murid.
Brainstorming ialah satu lagi teknik
mudah yang melibatkan seluruh kelas dalam sesuatu perbincangan. Perkenalkan apa
yang perlu dipelajari dan minta input daripada murid yang akan anda catat atas
papan hitam.
Permainan yang berkaitan dengan
Pendidikan Moral mudah diserapkan dalam pengajaran dan pembelajaran untuk
menggalakkan pembelajaran aktif dan penglibatan murid. Permainan berbentuk
padankan, pertandingan, permainan board,
menyelesaikan puzzle dan sebagainya
boleh digunakan.
Kerja kumpulan membenarkan setiap
ahli kumpulan bersuara, berkongsi pendapat dan mengembangkan kemahiran untuk
bekerjasama dengan orang lain untuk menyiapkan sesuatu tugasan. Kerja
kumpulan koperatif menghendaki semua ahli kumpulan bekerjasama untuk
menyiapkan sesuatu tugasan yang diberikan.
Perbahasan di kelas merupakan satu
perkakas efektif yang boleh menggalakkan murid memikirkan pelbagai perspektif
sesuatu isu.
Kajian kes menggunakan kisah sebenar
yang menerangkan apa berlaku dalam sesuatu masyarakat, keluarga, sekolah atau
individu akan menggalakkan murid mengintegrasikan pengetahuan yang diperolehi
dalam bilik darjah dengan pengetahuan kehidupan sebenar, tindakan dan akibat
sesuatu tindakan.
Kebaikan
menggunakan pembelajaran aktif and keberkesanannya:
Murid secara individu mungkin akan berhadapan dengan
sesuatu masalah dan putus asa tetapi secara berkumpulan, murid akan membantu
antara satu sama lain. Dalam pembelajaran aktif, murid akan terdedah kepada
pelbagai strategi penyelesaian masalah. Mereka akan berani mencuba strategi
tersebut dalam keadaan “power sharing” dan “empowerment”. Murid lebih yakin
dalam menjawab soalan atau berdialog dengan guru secara berkumpulan. Secara
umumnya, murid belajar secara efektif dan interaktif apabila mereka mengajar
antara satu sama lain.
Apakah ciri-ciri
pembelajaran aktif?
Arahan berpusatkan
murid
Minat, motivasi dan kekuatan murid perlu dipertimbangkan
apabila guru Pendidikan Moral merancang aktiviti kelas. Guru perlu sensitif
terhadap latar belakang murid dan kreatif dalam menggunakan pengetahuan sedia
ada murid untuk menjadikan pengajaran dan pembelajaran berpusatkan murid.
Komuniti diskusi
Murid mempunyai banyak peluang untuk kolaborasi and
bertukar idea antara satu sama lain (murid dengan murid, murid dengan guru,
murid dengan warga sekolah). Peluang untuk melibatkan diri dalam proses
pengajaran dan pembelajaran dikonstruk dengan pembelajaran melalui interaksi
dengan lain secara inovatif agar pembelajaran menyeronokkan dan memotivasikan
murid.
Refleksi
Pembelajaran aktif diimbangkan dengan refleksi. Murid
perlu ada masa dan peluang untuk membuat refleksi atas maklumat yang diterima
semasa sesi pengajaran dan pembelajaran. Refleksi ini boleh dibantu melalui
kolaborasi dengan murid dan guru yang akan membawanya ke tahap equilibrium. Untuk sampai ke tahap
pemahaman nilai atau konsep yang diajar, murid terpaksa melalui satu proses
yang mencabar dan memerlukan refleksi yang serius. Guru yang kreatif dan
inovatif boleh membantu murid membuat refleksi dengan pelbagai cara.
Berkongsi
tanggungjawab dalam proses pembelajaran
Pembelajaran menjadi bermakna apabila murid
bertanggungjawab terhadap pembelajarannya sendiri. Guru boleh membantu murid
mencapai tahap tersebut dengan memberi bimbingan dalam bertindak dan
berinteraksi dengan pembelajaran sendiri.
Kesalahan sebagai
perkakas untuk pembelajaran
Penilaian autentik
Dalam Pendidikan Moral, murid dinilai melalui pelbagai
cara. Melalui pembelajaran aktif, tanggungjawab untuk menilai juga dikongsi
bersama murid. Misalnya, penilaian diri dan penilaian rakan sebaya membantu
murid menilai pengetahuan dan pemahaman murid yang menjadikan pengajaran lebih
bermakna.
Peranan guru
sebagai fasilitator
Murid belajar melalui pelbagai cara. Seorang guru yang
kreatif akan membantu mengembangkan pemikiran kritikal murid. Guru akan menjadi
fasilitator yang membantu murid menyelesaikan masalah dan membawa makna kepada
pengajarannya daripada hanya setakat menyampaikan ilmu. Tidak ada satu cara
mutlak atau pengajaran yang membantu semua murid belajar. Oleh itu, guru Pendidikan
Moral perlulah menggunakan pengetahuan, kemahiran dan kreativiti masing-masing
untuk memimpin dan menyokong pembelajaran murid mereka.
Menggunakan masalah
autentik
Penggunaan masalah autentik seperti kajian kes adalah satu
perkakas pembelajaran yang efektif. Apabila berhadapan dengan situasi kehidupan
sebenar yang tidak mempunyai satu cara penyelesaian yang mutlak, murid perlu
menggunakan kemahiran berfikir secara kritikal. Kemahiran tersebut akan
mendalam apabila guru mengaitkan pengalaman dan pengetahuan sedia ada murid
dengan nilai atau konsep yang diajar.
Peranan guru
Pendidikan Moral dalam KSSR
Sebagai guru yang perlu mengajar tiga domain (penaakulan
moral, perasaan moral, tingkah laku moral), guru berhadapan dengan cabaran yang
agak kompleks dalam penyediaan aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Perhatian
perlu diberikan terhadap aktiviti yang akan membantu meningkatkan tanggungjawab
murid dalam pembelajaran mereka. Guru juga perlu membantu murid dengan
menyediakan garis panduan bagaimana mereka bekerja dalam kumpulan atau
melaksanakan aktiviti kolaborasi. Guru menyediakan peluang untuk komunikasi
yang akan memberi kesan kepada murid dari aspek berkongsi idea, melaksanakan
aktiviti dan mencapai kata sepakat. Tahap penglibatan murid secara aktif juga
bergantung kepada jumlah masa dan tahap kedalaman dalam penglibatan murid
semasa proses pengajaran dan pembelajaran.
Rujukan
Brooks, J.G. & Brooks, M.G. (1993). In search of understanding: The case for constructivist classrooms.
Alexandria , VA : Association for Supervision and
Curriculum Development.
Dale, E. (1969). Audio-visual
methods in teaching. New York :
Holt, Rinehart and Winston.
Meyers, C. & Jones, T. (1993). Promoting active
learning: Strategies for the college classroom. San Francisco , CA :
Jossey-Bass.
No comments:
Post a Comment